Masalah nyanyian yang disertai muzik baik dengan alat ataupun tanpa  alat adalah satu masalah yang sering dibahas sejak dahulu lagi.  Sebenarnya, para ulama telah bersepakat bahawa semua bentuk nyanyian  atau lagu yang mengandungi unsur-unsur yang tidak baik, bertentangan  dengan syariat Islam dan menganjur kepada berlakunya maksiat adalah  HARAM.
Namun, dalam kalangan ulama fiqh terdapat khilaf(perbezaan pendapat) dalam masalah ini.
Para ulama juga telah menyetujui dan memBOLEHkannya apabila ingin  meraikan suasana gembira dan bahagia, misalnya di waktu perniakahan,  hari-hari besar dan sebagainya.
Hakikatnya, tidak semua nyanyian atau lagu adalah tidak bermanfaat,  kerana ada sesetengah lagu yang banyak mengandungi hikmah atau nasihat.  Ada juga sesetengah lagu bersifat doa dan dakwah. Hal ini bergantung  kepada tujuan dan niatnya. Selari dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W dalam  sebuah hadis yang agak panjang, berikut merupakan petikan daripada  hadis tersebut, mafhumnya bermaksud:
“Sesungguhnya tiap-tiap amalan itu bergantung pada niatnya; dan  sesungguhnya apa yang diperoleh seseorang adalah berdasarkan apa yang  diniatkan”
(HR Bukhari dan Muslim)
Bagi sesiapa yang melakukannya dengan tujuan maksiat, tentu hal itu  menyebabkannya menjadi fasik dan ia DILARANG. Begitu juga sebaliknya,  apabila nyanyian itu dijadikan sebagai dorongan untuk melakukan ketaatan  dan hal-hal terpuji, sudah tentu ianya TIDAK DILARANG.
Telah berkata Imam Al-Ghazali :
“Jika disebutkannya nama Tuhan sebagai sumpah bagi sesuatu yang  tampak dan niatnya tanpa tujuan, tidak dapat dianggap berdosa, apalagi  membuat syair, nyanyian dan sebagainya”
Dalil yang membolehkan menyanyi atau mendengarkannya, adalah antara  lain dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Bukhari iaitu:
“Ketika Abu Bakar datang kepada Nabi S.A.W di rumah ‘Aisyah R.A  pada hari raya, ada dua jariah(hamba sahaya) sedang menyanyi, kemudian  Abu Bakar marah dan mengatakan ‘Apakah layak perbuatan syaitan ini  dilakukan di hadapan Rasulullah S.A.W?’. Kemudian, Nabi S.A.W besabda,  “Wahai Abu Bakar, biarkan mereka, hari ini adalah hari besar”
Adapun sebaiknya bagi seorang Muslim dan Mukmin Sejati yang  berhati-hati hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga dalam hal ini.  Agar tidak terjerumus kepada melakukan dosa yang boleh menggelapkan  hati.
Semoga apa yang kita dapat, dapat sama-sama kita ‘amal dan sampaikan. InshaAllah.
 ::Rujukan: Hudal Islam, Fatawa Mu’ashirah sebuah kitab karangan As-Syeikh Dr. Yusuf Abdullah Al-Qardhawi 

0 Kata-kata Sakti:
Catat Ulasan