Rakyat Palestin menuntut dunia dan PBB mengiktiraf negara berdaulat  Palestin mengikut persempadanan yang ditetapkan pada 4 Jun, 1967.
 Hakikatnya, proses perdamaian yang telah berlangsung selama 18 tahun  antara Palestin dan Israel adalah untuk mengakhiri konflik berpanjangan  antara kedua belah pihak dan menubuhkan sebuah negara Palestin yang  berdaulat. Negara ini tentunya dibentuk berdasarkan persempadanan tahun  1967.
Konflik ini akan berakhir lebih mudah kerana matlamat yang satu :  mencapai keamanan. Keamanan mampu direalisasi apabila dunia membuka mata  dan mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat yang bersempadan  dengan Israel.
Melihat kepada fakta-fakta ini, saya terfikir : Mengapa pentadbiran  US tidak melihat matlamat ini, dan menganggap kedua-dua pihak sedang  bergerak ke arah yang sama? Atau, adakah dengan memperoleh pengiktirafan  daripada PBB bermakna perbincangan antara kedua-dua negara sudah tidak  diperlukan lagi?
Untuk menjawab persoalan ini, kita harus mengenepikan seketika  peranan PBB, dan melihat tindakan Amerika dan Israel sepanjang proses  perdamaian berlangsung. Adalah tidak bijak untuk Amerika menggunakan  kuasa Veto untuk menggagalkan usaha Palestin sambil melaungkan pula  komitmennya untuk menghidupkan proses perdamaian.
Fakta ini amat penting kerana usaha-usaha yang diambil Palestin  ke  arah mencapai matlamat perdamaian dan pengiktirafan dunia sangat  jelas dapat dilihat. Tanpa lelah, ia telah mengumpul respons massa dan  membendung sebarang keganasan politik. Semua pihak yang berusaha ke arah  pengiktirafan Palestin sebagai negara berdaulat tidak pernah  mempamerkan niat untuk mengetepikan kewujudan Israel. Bahkan, ia  berhajat untuk berada di dalam kelab yang sama dengan Israel dan negara  berdaulat lain yang telah menjadi ahli.
Agenda ini akan terus dihidupkan dalam forum dan organisasi serantau  dan antarabangsa. Palestin akan terus mendedahkan perkara pokok  permasalahan ini iaitu pendudukan haram secara paksa dan kekerasan.  Ini  jugalah yang dibawa ke resolusi 242 dan 338 di PBB dan membawa kepada  penerimaan Palestin sebagai ‘entiti bukan ahli’ di PBB.
Gerakan untuk memperoleh penerimaan PBB dan pengiktirafan dunia tidak  bercanggah dengan pokok proses perdamaian yang sedang diusahakan.  Namun, bagaimana pula kini apabila proses itu terbantut selama 3 tahun  akibat pendudukan dan keganasan ekstrim rejim Israel?
Segala kepentingan Israel harus dibawa ke meja rundingan secara  rasional bersama Palestin. Kepentingan tersebut juga tidak patut  mengakibatkan sekatan dan embargo ke atas Palestin yang menambah parah  ke atas masalah yang sedia ada.
Israel sepatutnya bertindak rasional dengan mengambil setiap undi  yang menyokong penubuhan negara berdaulat Palestin mengikut  persempadanan 1967 sebagai menyokong pengiktirafan ke atas mereka. Ini  berikutan masih wujud beberapa negara yang tidak mengiktiraf  kewujudannya sebagai sebuah negara. Amerika Syarikat, sebagai penaja  utama rundingan wajib menangani situasi ini dengan tanggungjawab, hikmah  dan keprihatinan yang tinggi.
Malangnya, pentadbiran Amerika dilihat dengan terang-terangan  mengamalkan dasar berat sebelah kepada Israel dan mengenepikan hak  Palestin secara melampau dan tidak rasional. Dasar ini hakikatnya  merugikan Amerika dan menghilangkan keyakinan dunia terhadap peranan dan  pengaruhnya di rantau itu, terutamanya dengan perubahan pucuk pimpinan  di negara-negara Arab.
Peluang Palestin di sidang PBB September ini mesti digunakan  sebaiknya untuk menterjemahkan sokongan antarabangsa ke arah Palestin  yang merdeka, berdaulat dan diperakui mengikut persempadanan 1967 agar  kedua-dua negara dapat wujud dengan aman.
Pengiktirafan PBB jika diperolehi, tetap tidak akan mencapai matlamat  yang dituju tanpa rundingan perdamaian yang tulen berjaya dilakukan.
Jika rundingan itu berjaya, sebuah era baru di Timur Tengah akan  bermula, lebih-lebih lagi dengan jatuhnya rejim sedia ada yang  digantikan oleh pentadbiran baru yang lebih menyokong prinsip demokrasi  dan penglibatan politik yang lebih meluas. Pentadbiran baru ini juga  dibina atas dasar kerjasama ekonomi serantau dan keselamatan.
Rundingan-rundingan ini mampu mencapai matlamat yang dituju dengan  pelbagai inisiatif dan idea yang dikemukakan sejak bertahun-tahun untuk  menyelesaikan konflik ini.
Nidal Foqaha  ialah Pengarah Am Palestinian Peace Coalition –  Geneva Initiative, Ramallah. Beliau juga terlibat dalam jawatankuasa  pemandu Forum NGO Keamanan Palestin-Israel

0 Kata-kata Sakti:
Catat Ulasan