ANTARA tanda penghormatan dan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW  ialah melalui membaca selawat. Semakin banyak selawat dilafaz semakin  besar fadilat dan ganjaran pahalanya di sisi Allah SWT. Kita seharusnya  selalu membaca selawat dan jangan menunggu ketika tibanya musim Maulidur  Rasul barulah hendak mempergiatkan bacaan itu.
Sebenarnya, bukan manusia mukmin saja yang rindu dan cintakan  Rasulullah SAW, kerana jika rajin menyusuri sirah Baginda akan terpahat  satu kisah yang sebenarnya patut kita semat di dalam hati sebagai  penghayatan.
Diceritakan oleh Jabir bin Abdullah, katanya, 
“Dulu, masjid menggunakan atap dari pelepah kurma.  Apabila berkhutbah, Baginda Rasulullah SAW berdiri berdekatan salah satu  pelepah itu. Apabila dibina sebuah mimbar untuknya, Baginda selalu  berdiri di atasnya. Kami mendengar tangisan dari pelepah itu seperti  unta bunting, sehingga Rasulullah SAW datang mendekatinya lalu mengelus  pelepah itu, kemudian pelepah itu terdiam.” (Riwayat Bukhari)
Baginda Rasulullah SAW berpindah ke mimbar yang baru dibina itu  adalah hasil pandangan sahabat, memandang semakin ramainya jemaah. Jadi,  berdasarkan kisah itu, dapat kita tafsirkan betapa Rasulullah SAW  menjadi manusia yang sentiasa dirindu seluruh makhluk Allah kerana  Baginda pembawa rahmat.
Kejadian yang dapat disaksikan oleh sahabat Baginda membuktikan  kenabian Rasulullah SAW dan hal itu memperkukuhkan iman dan takwa dalam  kalangan mereka. Aisyah pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah  berada di tengah-tengah sekelompok kaum Muhajirin dan Ansar. Lalu  datang seekor unta dan bersujud kepada Baginda, maka berkatalah sahabat, ‘Wahai Rasulullah SAW, binatang dan pohon bersujud kepadamu, maka kami adalah lebih sepatutnya bersujud kepadamu.’
Lantas Rasulullah SAW segera menjawab, 
“Sembahlah Tuhanmu dan muliakanlah saudaramu.  Sekiranya saya menyuruh seseorang untuk bersujud kepada orang lain,  nescaya saya menyuruh wanita bersujud kepada suaminya. Dan sekiranya  saya menyuruhnya (wanita) berpindah dari gunung kuning ke gunung hitam  dan dari gunung hitam ke gunung putih, maka tidaklah patut baginya untuk  melaksanakannya.” (Riwayat Ahmad)
Di sini, ada beberapa aspek yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita  semua. Satu, kita tidak boleh menyembah atau sujud selain daripada  Allah SWT. Keduanya ialah Rasulullah SAW ada juga menyelitkan unsur  pengajaran kepada kaum wanita supaya taat dan patuh kepada suami. Dua  aspek itu digabung dan inilah kelebihan Rasulullah SAW apabila mendidik  sahabat.
Selain itu, Baginda Rasulullah SAW melalui dialognya dengan sahabat  ada menekankan perkara habbluminnas (hubungan semasa insan). Baginda  meminta kita agar bersikap memuliakan saudara seagama kita. Tetapi  seandainya kita secara jujur meneropong situasi semasa yang terjadi  dalam kalangan mukmin, maka bertanyalah kita, apakah suruhan Baginda itu  kita patuhi ?
Yang banyak berlaku ialah saling menghina, dengki-mendengki,  fitnah-memfitnah dan seribu satu macam perangai mazmumah (keji) yang  dilakukan. Sepatutnya kita sentiasa ingat akan apa yang Allah pesan, 
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia.  Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah dan bertakwalah  kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.” (Surah al-Hasyr ayat 7)
Sebenarnya, keunggulan Rasulullah SAW terus menerus mencatat reputasi  terhebat dalam sejarah peradaban manusia. Jika sebelum ini, kita hayati  sendiri bagaimana haiwan dan pokok pun hormat dan cintakan Baginda dan  hal seperti itu adalah mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada Baginda  sebagai bukti kerasulannya. Malah dalam kalangan bukan Islam di dunia  Barat pun turut memperakui kehebatan Baginda.
Misalnya, tokoh legenda Perancis yang tersohor, Napoleon Bonaparte. Dia walaupun bukan seorang Islam, namun dia pernah berkata, “Saya tabik kepada manusia agung ini. Saya tabik hormat kerana keagungan akal dan hatinya.”
Tentu sekali pandangan peribadi Napoleon itu jarang kita temui,  kerana laporan benar dan jujur mengenai Rasulullah SAW sentiasa saja  ‘terlipat dan tersembunyi’. Malah jika boleh, luahan jujur orang-rang  Barat yang bukan Islam mengenai kehebatan Nabi kita akan cuba disorok  sedalam-dalam agar tidak kelihatan.
Baiklah, kita ambil satu lagi pandangan ikhlas seorang ilmuwan dari  Itali, Prof Laura Vecccia Vaglieri yang lebih terkenal sebagai seorang  orientalis banyak menghasilkan artikel mengenai Islam. Katanya, “Semasa  menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa, Muhammad tidak  pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia daripada berfikir  mengenai kebenaran. Beliau tidak menggunakan pendekatan sihir yang  memukau penglihatan, tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta  ugutan. Apakah yang beliau lakukan? Beliau menyuruh mereka supaya  menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia  kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh manusia membaca ‘Buku  Alam’ dan berfikir mengenainya supaya dengannya manusia yakin ada  kewujudan Illahi.”
Begitulah panjang lebarnya cetusan tokoh Barat itu dalam  memperkatakan tentang keunggulan Rasulullah SAW. Tetapi mengapakah pada  masa ini mereka tidak membaca dan mengambil peduli apa yang tokoh-tokoh  mereka pernah katakan itu hinggakan tercetus Islamofobia dengan sengaja  mewujudkan bentuk provokasi sentimen agama yang sempit dan tidak  bertamadun.
Masih banyak lagi tokoh-tokoh Barat yang bukan Islam yang mengakui  kelebihan agama Islam dan mereka mengangkat imej Nabi SAW di puncak  tinta kajian mereka.
Michael H Hart seorang sejarawan, pakar matematik dan ahli astronomi  terkemuka di Barat meletakkan nama Nabi kita pada kedudukan teratas  dalam kalangan 100 orang tokoh dikagumi.
Inilah semua menjadi bahan bukti yang mempamerkan kepada kita  Rasulullah SAW sejak zaman hayat Baginda begitu dimuliakan, dihormati,  dirindu dan dicintai sahabat, kaum muslim malah segala makhluk di muka  bumi ini turut merasainya.
Oleh demikian, marilah kita mempertajamkan rasa cinta terhadap  Baginda bukan hanya sekadar berselawat saja, tetapi mengikuti setiap apa  sunnah Baginda agar kehidupan dunia menjadi sejahtera dan akhirat  dilimpahi bahagia.

0 Kata-kata Sakti:
Catat Ulasan